Sunday, March 20, 2011

PERSIS SUNGAI YANG MENGALIR

Persis Sungai Yang Mengalir .Jum, 12 Nov 2010 13:07 |


Mataku tidak berkerlip memandang ke arah sungai yang tenang. Dari jendela kamar lantai rumahku, kelihatan sungainya begitu tenang. Kadang-kadang burung yang kecil hinggap di sana dan terbang kembali entah ke mana arah tujunya.

Sering kali aku tertanya-tanya apa yang ada di benak fikiran burung-burung itu? Kadang-kadang terbang sekawan dan kadang-kadang berseorangan. Mungkin tidak ada apa yang difikirkan hanya terbang dan makan bagi meneruskan kehidupan. Mereka sering ke sungai itu dan sungai itu memberikan mereka kehidupan.

Alunan Hidupnya

Sungai yang sudah lama meneruskan kehidupannya di sana. Dan sudah banyak riwayat tertulis di atasnya. Sehingga kini sungai itu masih lagi mengalir tanpa henti tidak kira ke mana haluannya, dan ia dilihat begitu deras. Aku tidak pernah ke sungai, dan persahabatan kami hanyalah dari jarak yang jauh. Sering aku mendengar sungai itu mengeluarkan bunyi. Seolah manusia yang sedang berkata-kata.

"Pesanan apa yang hendak kusampaikan padamu sungai? Nyata aku tidak punya apa-apa pesan yang ingin kutitipkan. Aku cuma merasakan diriku sama sepertimu, mengalir tenang di atas pandanganku. Pesanan apa yang kau ingin aku sampaikan? Kau sungai seperti diriku yang mengalir di alur kita masing-masing. Bezanya aku di sini hanya mengalir di sebatang jalan ini; jalan sungai. Sudah ratusan tahun aku menjalani alur ini."

Umpama Sungai yang Mengalir

Tamsilannya adalah seperti sungai, jika masih ada antara kita kecewa, putus asa dan sedikit berduka masih belum dapat apa yang terbaik dan yang diimpikan, jangan berkecil hati. Jangan cepat melambai sapu tangan putih lantas mengaku kalah. Kadang-kadang kita akan diuji sama ada kita benar-benar serius terhadap apa yang kita inginkan.

Ujian akan datang dalam pelbagai bentuk halangan, rintangan dan hal-hal yang membuatkan kita tidak berdaya lagi. Menyerah adalah pilihan yang mudah yang boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Tapi, menyerah tanpa melakukan apa-apa tidak akan membuatkan kita jauh lebih baik.

Jangan Berbalik Arah

Saat api padam, mungkin itu adalah saat kita menyatakan kita ingin menyerah kalah. Mari kita belajar dan lihat dari air sungai yang mengalir. Air terus mengalir ke satu arah dan tidak peduli apa yang terjadi. Walau ada sebesar batu yang wujud di tengah-tengah air tidak akan berhenti. Sungai yang deras tidak pernah terfikir untuk berbalik arah. Tidak pernah berhenti untuk mengalir hanya kerana beberapa panahan di hadapannya.

Kita juga boleh belajar daripada prinsip air sungai yang mengalir. Maju ke hadapan demi impian yang ingin dikecapi. Air juga tidak pernah gerun apabila berada di tepi air terjun. Mengalir dan terus mengalir dan semangat yang tidak pernah membuat kita gentar. Semoga air yang mengalir akan mengubah diri kita dan persis yang mudah menyerah kalah. Namun percayalah You don't know what the future holds, but you know Who holds it.

- Artikel iluvislam.com

Saturday, March 19, 2011

selagi ada ADAM

Puisi ini ku dedikasikan sebagai penghargaan buat semua ADAM di seluruh dunia..


Buat ayah yang mengenalkanku dengan cinta
Buat abang yang banyak mengajarku erti cinta
Buat sahabat yang tak jemu menghidupkan kita semua dengan cinta
Buat bakal suamiku yang akan kusemai benih cinta
Buat saudara yang mengenali yang banyak mendewasakanku dengan cinta
Dan
Buat semua yang hidup dalam penuh kecintaan

Duhai adam..
Engkau dilahirkan sebagai lambang kemenangan
Dari sebuah pertarungan yang menuntut kesabaran
Mengorbankan darah si pejuang
Pertaruhan untuk sebuah kehidupan
Segala penderitaan tidak terasa keperitan
Tika melihat engkau di pangkuan..
Begitulah bermulanya kisahmu sebagai seorang adam..

Seorang adam yang dibesarkan dengan penuh pengharapan..
Moga hidupmu mewarisi darah seorang pejuang..
Moga engkau menghiasi dunia dengan kecekalan
Mewarnai setiap kehidupan dengan kasih sayang..
Menjadi khalifah yang tak gentar berjuang
Menjadi pemimpin yang penuh keluhuran..
Yang kelak nanti bakal memimpin dunia dengan ilmiah
Menutup kekurangan dengan penuh hikmah
Mengajari dengan penuh istikhomah
Menjadi ikutan para syuhadah






Demikian itu wahai adam..
Sedarlah bahawa tempatmu sungguh istimewa..
Setiap katamu adalah cukup berharga..
Setiap langkahmu diiringi doa
Setiap nafasmu dibawah lindungan Yang Esa..
Mengapa perlu harapan itu dipersia
Mengapa perlu nikmat itu dipandang sia-sia
Mengapa engkau biarkan amanat itu tidak terlaksana

Engkau dilahirkan sebagai khalifah pemimpin dunia
Engkau dididik cukup sempurna
Diajari engkau tulis dan baca
Tidak sedikit pun terlintas dihati ayahbonda
Engkau menjadi perosak Negara
Pencemar kesucian sebuah cinta

Adam..
Enkau diciptakan sebatang kara
Maka diciptakan hawa untuk bersama mengikat janji setia
Tulak rusukmu menjadi saksi pertama
Bagaimana tulang yang tiada rupa
Menjadi seorang penemanmu yang setia..

Adam..
Hawa itu diciptakan bukan dikaki untuk kau alasi..
Bukan dikepala untuk kau junjungi..
Jua bukan ditangan untuk kau genggami..
Tapi dari tulang rusuk yang dekat di hati..
Untuk kau lindungi..
Untuk kau sayangi
Untuk kau pimpini

Tanggungjawabmu wahai adam..
Tak pernah berpenghujung..
Setiap khilaf saudara perempuanmu membawa dosa
Setiap derhaka isterimu membawa bala
Andai si adam tidak bersuara
Andai tanggungjawab tidak dilaksana..

Engkau dicipta sangat sempurna..
Jangan kau hancurkan dirimu dengan api yang menyala
Peringatan dari Yang Maha Kuasa..
Didiklah anakmu,saudaramu,isterimu
Agar mereka kenal yang mana dosa mana pahala..
Tiada guna hidupmu jika engkau hanya sekadar berkuasa
Tapi tak menghargai kuasa yang ada
Kuasa itu tidak bermakna kau boleh lakukan apa saja
Tapi itulah kuasa yang bakal ditanya pada hari pembalasan samada ianya diguna dengan sebaiknya atau sebaliknya
Tanggunjawab tak bertepi
Sebagai hadiah yang cukup berharga dari Pencipta
Syurga yang abadi buat selamanya

Adam
Mengapa dibiar si ibu menderita tatkala dia mengrapkanmu
Mengapa dibiar si isteri merana kerana sikapmu
Mengapa dibiar kekasihmu terluka
Dek leka dengan dunia
Terlalu mewah dengan gembira
Terlalu megah dengan dosa

Jangan biarkan dunia hilang serinya tanpa kasihmu
Jangan biarkan bunga layu tanpa siraman cintamu
Jangan biarkan mereka menangisi kehilanganmu..
Kerana ku percaya
Dirimu adalah seorang ADAM yang diciptakan bukan untuk menyesatkan,
tapi untuk membaiki apa yang terkurang..
bukan untuk penindasan
tapi untuk sebuah kehidupan bernama pengalaman..

kembalilah ADAM ke tempat asalmu..
tujuan utama kita diciptakan
andainya ditakdirkan ini amanat terakhirku,
maka ingatlah bahawa engkau kini sedang membawa amanah dari YANG ESA yang amat berat untuk dipikul..
hanya keimanan yang akan menjamin dirimu selamat daripadanya..


kembalilah..
selagi mentari memancarkan cahaya,
selagi sungai mengalirkan muara,
selagi bulan berganti purnama..
pintu itu tetap terbuka..
jangan sampai nanti..
bila semuanya terlambat, jangan kau tangisi segala kekhilafan
kerana yang pergi tetap kan pergi..kehidupan tetap perlu diterusi..

selagi ada ADAM..
dunia pasti kan terus bersinar
beburung akan kekal bernyanyi riang
mentari pasti memancar terang
kerana enkau adalah seorang adam..
penuh pengetian,
penuh keluhuran,
penuh kesetiaan..




-nokhtah-

Sunday, March 6, 2011

pemilikan hakiki...

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah Al-Baqarah: 284)

"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)

Merasa bahawa kita memiliki sesuatu secara mutlak akan mengundang kesengsaraan jiwa kerana apa yang ada pada kita itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kita tidak akan redha atau berpuas hati dengan sebuah kehilangan, dan akan menjadi tertipu dengan sebuah pemilikan yang sementara.

Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik siapa-siapa selain Dia. Allah lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.

Adapun istilah "milik" yang kita gunakan dalam pembicaraan sehari-hari itu hanyalah sebuah kata yang hakikatnya merujuk kepada sesuatu yang dianugerahkan Allah kepada kita buat sementara, sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang diberikan kepada kita untuk dimiliki di dunia ini pasti akan hilang apabila Dia menentukannya.

Tidak ada sesuatu pun yang berada di atas muka bumi ini yang terlepas daripada pemilikan Allah. Semuanya adalah kepunyaan-Nya secara mutlak, dan hanya Dia yang berhak menentukan dan mengizinkan sesuatu itu berlaku terhadap segala isi bumi. Dia adalah pemilik mutlak yang tunggal, yang mengatur segala perjalanan dunia ini.

"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." ( Surah Al-Anbiyaa':22)

Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.

Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.

Segalanya yang kita miliki adalah milik mutlak Allah. Sekalipun kita merasa teramat sayang terhadapnya, ia tetap akan kembali kepada Allah. Isteri atau suami adalah anugerah Allah. Kita memilikinya hanya untuk sementara dalam melayari perjalanan di atas muka bumi. Bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambilnya daripada kita tanpa perlu meminta persetujuan atau kebenaran kita, kerana sememangnya itu adalah miliknya.

Anak-anak adalah anugerah bernilai daripada Allah untuk sementara dan kita takkan selama-lamanya bersama mereka. Kemungkinan Allah memanggil kita kembali sebelum mereka, atau mereka yang diambil pergi.

Harta adalah kurniaan Allah. Apa jua cara ia luput daripada kita bukan permasalahannya. Intinya adalah ia pasti akan luput sedikit demi sedikit kerana Allah yang memberikan kita harta dan Dia menghilangkan daripada kita sepertimana yang dikehendaki-Nya. Hatta jiwa kita adalah hak mutlak Allah dan pasti kembali kepada-Nya. Apa yang tidak menjadi milik-Nya daripada sekian perkara yang kita 'miliki'? Semuanya, adalah kepunyaan Dia.

"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..." (Surah al-Baqarah: 284)

Jika kita adalah pemilik mutlak kepada sesuatu, maka semestinya kita boleh menghalang ia hilang daripada kita. Kita pasti tidak akan pernah mampu berbuat demikian. Kita mungkin boleh berbicara dengan yakin, bahawa kita memiliki sesuatu secara pasti, namun kita akan tersadung apabila takdir Allah mendahului kehendak kita.

Hilang, lenyap, luput, mati, tamat, semuanya akan berlaku dan kita sedikit pun tidak dapat menghalangnya. Takut kehilangan dan berusaha untuk terus memiliki sesuatu adalah tanda yang jelas bahawa kita tidak memiliki sesuatu tersebut. Jika kita memilikinya, kita takkan pernah bimbang dan takut.

Dalam memahami pemilikan hakiki ini, Islam mengajar kita untuk bersikap sederhana dalam segala sesuatu. Apabila kita mencintai, janganlah sehingga melampaui batas dan ingin mendahului ketentuan Allah. Apabila kita memiliki sesuatu harta (yang hakikatnya adalah pinjaman), janganlah terlalu bakhil untuk menginfak di jalan Allah. Islam tidak melarang kita daripada berusaha untuk mendapatkan kurnia daripada Allah, kerana dia memberi apabila dia berkenan.

Apa yang paling penting adalah menyerap makna pemilikan hakiki oleh Dia dan tidak merasakan bahawa kita adalah pemilik mutlak kepada segala sesuatu. Dia adalah pemilik dan kita adalah peminjam, kitalah yang berhajat kepada apa yang menjadi milik-Nya, dan dia sama sekali tidak rugi dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita.

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)

Kita selalu merasa ingin memiliki sesuatu. Apabila kita telah memilikinya, kita selalu ingin agar ia tidak luput daripada kita. Kita selalu lupa bahawa ia adalah pinjaman yang pasti diambil kembali. Hai jiwa yang sering tidak puas dengan apa yang ada, dan sentiasa mengejar sesuatu yang bukan milik kita, sedarlah bahawa Dia adalah pemilik hakiki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Apabila engkau meminta, mintalah kepada Dia. Apabila engkau ingin memberi, berilah kerana Dia.

Wallahua'lam.