Thursday, November 22, 2012

karya pertama ~DOA DAN HARAPAN~


Semenjak kecil, ada sebaris doa yang sudah menjadi kewajipan untuk saya membacanya. Doa itu adalah doa yang paling tua usianya kerana ianya mencecah usia hampir 25 tahun. Meskipun ianya memakan masa hampir 25 tahun sebelum ianya dikabulkan, tetapi doa itulah sebenarnya yang menjadi tunjang kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan seperti insan lain..
Doa yang saya panjatkan setiap kali usai menunaikan solat fardhu sejak saya berusia empat tahun itu tak pernah jemu saya baca. Saya percaya bahawa Allah Maha Mendengar doa saya. Meskipun doa itu cukup ringkas dan mungkin tak pernah terlintas untuk dipanjatkan oleh insan yang sempurna..
“Ya Allah, berikanlah saya kaki baru supaya saya dapat berjalan seperti ayah dan ibu.”
Saya hanya menyedari bahawa keadaan fizikal saya tidak seperti orang lain semenjak saya berumur empat tahun apabila ibu melahirkan adik saya. Perkara pertama yang saya tanyakan kepada ayah sebaik sahaja ibu melahirkan adik tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. “Ayah, kaki adik ada berapa? Sama tak dengan kaki Ayie?” Ayah tidak menjawab soalan saya itu. Sebaliknya mengusap perlahan rambut saya sambil tersenyum, walaupun saya tahu yang ayah ketika itu cuba berlagak tenang di hadapan saya. Sejak dari hari pertama saya menyedari hakikat bilangan kaki saya yang tidak sama dengan adik, saya selalu berharap agar ada satu keajaiban yang berlaku apabila saya bangun dari tidur. Semoga kaki saya tumbuh semasa saya tidur dan saya dapat berjalan kaki ke tadika. Tanpa saya sedar, doa itulah yang telah memberikan saya harapan untuk meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain. Berharap dengan esok yang saya sendiri tak pasti akan kewujudannya. Doa itulah juga yang menguatkan hati saya tatkala rakan-rakan yang lain boleh berlari dan bermain dengan gembiranya. Doa itu seakan-akan ada kuasa memujuk yang menandingi ketidak-sempurnaan saya. “Takpe, nanti bila Tuhan bagi saya kaki yang baru, saya juga pasti dapat bermain seperti mereka.” Begitulah jawapan saya setiap kali guru tadika bertanya mengapa saya tidak bermain bersama kawan-kawan yang lain. Saya bukanlah berasal dari keluarga yang senang. Hidup kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Oleh itu,saya tidak berani untuk meminta ayah membelikan saya kaki yang baru. Ada perkara lain yang lebih penting daripada membelikan saya kaki yang baru. Dengan wang sebanyak itu, ayah boleh membeli ikan di pasar atau membeli beras supaya ayah, mak, adik dan abang kenyang. Tetapi, jika ayah membelikan saya kaki yang baru, hanya saya seorang saja yang gembira. Entahlah,walaupun usia saya pada ketika itu baru empat tahun, saya sudah mula berfikir sejauh itu. Hari berganti hari. Tahun berganti tahun. Sehari sebelum saya didaftarkan ke sekolah rendah iaitu ketika saya berusia tujuh tahun, saya menambah sedikit doa yang saya panjatkan setiap hari. Doanya berbunyi begini: “Ya Allah, berikanlah saya kaki baru supaya saya tidak diejek oleh kawan-kawan baru.” Doa ini saya panjatkan selama enam tahun. Sehinggalah umur saya mencecah dua belas tahun. Entah mengapa,walaupun kaki saya belum juga tumbuh, semangat untuk saya belajar semakin lama semakin tinggi seiring dengan doa yang saya panjatkan. Saya pernah memberitahu ibu.. “Ibu, Ayie nak belajar rajin-rajin. Ayie nak cepat-cepat dapat kerja supaya Ayie boleh kumpul duit. Nanti Ayie nak sambung kaki Ayie. Bolehkan ibu??” Saya jadikan air mata yang mengalir di kelopak mata ibu itu sebagai jawapan “Ya” untuk pertanyaan saya itu. Maka,lakaran sejarah hidup saya terus berjalan seperti biasa. Ketika kanak-kanak lain sedang bermain di sudut belakang bilik darjah, saya membaca buku. Semasa kawan-kawan yang lain sedang bersukan,saya bernyanyi-nyanyi di tepi padang sambil menyiapkan kerja rumah. Ketika orang lain sedang berjalan ke kantin, saya akan membuat lawatan ke bilik guru untuk bertanya soalan. Biarpun kadang-kala saya jatuh tersungkur di tangga, saya cuba untuk bangun kembali. Debu-debu yang melekat di tangan dan seluar sekolah setiap kali saya jatuh saya jadikan sebagai suatu galakan untuk saya. Semoga saya akan lebih berhati-hati di kemudian hari. Entah semangat apa yang menjurang saya sebegitu jauh daripada teman sedarjah yang lain. Yang pasti, saya mahu lebih cepat pandai dari mereka supaya saya dapat membeli kaki baru. Hasilnya, saya berjaya mengekalkan tempat pertama di dalam darjah setiap kali peperiksaan. Malah, saya juga dikenali oleh semua guru di sekolah itu. Piala-piala yang berjaya saya kutip sepanjang pengajian di sekolah rendah dalam pertandingan bercerita, sajak, syarahan, dan sebagainya adalah bukti bahawa saya bukanlah seorang pelajar yang hanya cemerlang dari segi akademik, malah seimbang dalam kedua-duanya. Namun, tak ramai yang dapat melihat kejayaan yang diraih oleh insan lain satu persatu. Walaupun saya rapat dengan boleh dikatakan semua guru di sekolah itu, ada juga segelintir pelajar yang tidak berpuas hati dengan saya. Pernah suatu ketika saya ditolak semasa saya sedang menuju ke meja di kantin dengan membawa air yang baru sahaja di beli. Habis tumpah air yang saya pegang itu dan mengotori baju saya. Pagi tadi, ayah hanya membekalkan saya dengan wang saku sebanyak 20 sen. 10 sen telah saya gunakan untuk membeli roti. 10 sen lagi saya gunakan untuk membeli air sirap yang tadinya telah ditumpahkan oleh Sidi, pelajar kelas bawah yang sentiasa tidak berpuas hati dengan saya. Dek kerana terlalu dahaga, maka terpaksalah saya minum air paip pagi itu. Malunya tak terkira apabila saya digelakkan oleh pelajar-pelajar lain. Pernah juga suatu hari saya ditolak ke dalam kolam ikan di taman rekreasi. Mujurlah Pak Cik Din, tukang kebun sekolah sempat melihat saya yang sedang tenggelam timbul di dalam kolam. Saya memang tak tahu berenang. Tambahan pula dengan keadaan kaki sebelah kiri saya yang telah dipotong dari lutut hingga ke bawah menyukarkan saya untuk mengapungkan diri. Namun, saya balas segala perbuatan mereka itu dengan senyuman dan istighfar kepada Allah. Saya ingin terus bersangka baik dengan Allah. Maka, kerana itu, saya berusaha untuk berfikiran positif kerana bagi saya apabila hati saya kuat, saya pasti dapat menghadapi ujian ini. Semangat untuk terus berjaya itu terbukti apabila saya berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kisah kehidupan saya kini masuk ke babak seterusnya. Hari pertama saya mendaftar di sekolah baru iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Machang itu merupakan permulaan yang agak mencabar apabila saya perlu tinggal di asrama dan menguruskan hidup seorang diri. Ibu menangis teresak-esak kerana terpaksa berpisah dengan saya. Namun saya cuba menenteramkan ibu walaupun saya sendiri tidak pasti samaada saya mampu menjalani kehidupan seorang diri ini atau tidak. “Ibu, Ayie pergi sekejap aje. Nanti bila cuti, Ayie akan pulang ke kampung. Ayie nak cepat dapat kerja supaya dapat beli kaki baru..” Saya hanya memerhatikan dari jauh teksi yang membawa ayah,ibu,adik dan abang pergi. Walaupun hati saya amat berat untuk menerima pelbagai kemungkinan, namun saya gagahkan jua. Segala-galanya saya lakukan deni sepasang kaki yang baru. Hidup di asrama membuatkan saya berfikir bahawa saya takkan dapat hidup tanpa kawan-kawan. Oleh itu, saya ubah suai sedikit doa yang saya panjatkan setiap hari itu.
“Ya Allah, berikanlah saya kaki baru supaya ramai yang ingin berkawan dengan saya. Supaya saya tidak diejek oleh mereka dan supaya saya tidak sunyi tinggal di asrama.”
Namun apa yang berlaku, kaki saya tidak juga tumbuh. Tuhan tidak memberikan saya kaki baru. Tapi Tuhan tunjukkan kasih sayangnya dengan cara yang saya sendiri tak sangka. Tuhan berikan saya tongkat!! Kebetulan rakan sekelas saya,Daniel, merupakan anak kepada seorang jurutera yang kaya raya. Maka ayahnya menghadiahkan saya tongkat supaya saya dapat berjalan dengan lebih selesa. Jadi saya tidak perlu lagi terjengket-jengket ke kelas. Daniel itulah yang kemudiannya menjadi kawan karib saya sehinggalah tingkatan tiga.
Bak kata pepatah, langit takkan selalunya cerah. Kadang-kala, mendung pasti datang jua. Rupa-rupanya, kehidupan saya di sekolah baru ini tidaklah semudah yang disangka. Pelbagai dugaan yang maha hebat saya terpaksa tempuh.
Masih saya ingat, saya pernah dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana kaki kanan saya patah dan kepala saya hampir pecah gara-gara saya tidak mahu menurut arahan pelajar senior yang memaksa saya membasuh pakaiannya. Pelajar tingkatan empat itu sememangnya di kenali dengan sikapnya yang suka membuli pelajar junior. Apa yang terjadi, sehari selepas kejadian saya di masukkan ke hospital, kami semua dikejutkan dengan berita bahawa senior tersebut telah dilanggar lori di luar kawasan asrama. Kaki sebelah kiri senior itu didapati retak dan terpaksa dipotong. Lihatlah, betapa adilnya Tuhan. Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah difitnah sehingga menyebabkan persahabatan saya dengan Daniel hampir saja terputus. Mujurlah, sikap Daniel yang tidak suka tuduh melulu dan kerana kejujuran saya, maka kami dapat menepis segala tohmahan. Saya berbangga dengan sikap Daniel yang sangat sederhana. Dia tidak pernah merasa sombong dengan kekayaannya. Kebetulan pula, Daniel merupakan anak tunggal di dalam keluarga. Jadi,setiap kali ibu bapanya datang melawat kami di asrama, Daniel pasti membawa saya bersama-sama makan di restoran mewah di bandar. Kadang-kala, saya merasa segan dengan layanan sebegitu. Namun, bapanya yang menganggap saya seperti anaknya sendiri begitu pandai mengambil hati saya. Nilai sebuah persahabatan antara dengan Daniel itu mendorong saya untuk lebih rapat dengan ramai orang. Saya cuba mengubah cara saya berkawan. Tuhan telah menebalkan muka saya berinci-inci tebalnya.Saya tegur siapa saja yang saya jumpa tak kiralah di depan koperasi, di dewan selera, atau di mana saja. Saya berharap lebih ramai yang akan berkawan dengan saya. Selain keputusan yang sentiasa cemerlang dalam setiap peperiksaan, saya juga tidak terlepas menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan di sekolah. Saya mahu semua orang memandang kebolehan saya. Semoga apabila ramai yang ingin berkawan dengan saya, saya tidak akan merasa sunyi tinggal di asrama. Semoga itu semua akan mendorong saya lebih positif mengharungi setiap cabaran. Kata ayah,kaki sebelah kiri saya terpaksa dipotong semasa usia saya mencecah setahun kerana jangkitan kuman akibat demam panas yang berlarutan. Ketika itu, ayah tidak ada di rumah. Ibu yang pada waktu itu tinggal di rumah bersama saya dan abang tidak mempunyai wang untuk membawa saya ke klinik. Maka, ibu terpaksa menunggu ayah pulang tiga hari selepas itu. Sebaik sahaja doktor memeriksa badan saya, doktor membuat kesimpulan bahawa kaki saya perlu dipotong. Ibu menangis semahu-mahunya dan menyalahkan dirinya kerana tidak segera membawa saya ke hospital. Seminggu ibu tidak mahu makan kerana menghukum diri sendiri. Mujurlah sikap ayah yang amat penyayang itu dapat jua melembutkan hati ibu.
“Sudahlah, semua ini terjadi bukan salah sesiapa. Takdir telah menentukan segalanya. Ikhlaskanlah..ini adalah tanda kasih sayang Tuhan kepada kita semua.” Kata ayah.
“Tapi bagaimana dengan masa depannya?bagaimana kalau nanti dia bertanya tentang ini? Apa saya nak jawab nanti..” Persoalan demi persoalan ibu lontarkan kepada ayah. Persoalan yang hanya ditinggalkan tanpa jawapan. Namun kesedihan dan rasa bersalah ibu itu lama-kelamaan kian hilang seiring dengan kejayaan demi kejayaan yang dibawa pulang oleh saya. Pernah suatu petang ibu membisikkan ke telinga saya. Waktu itu saya tak pasti samada ibu benar-benar ikhlas dengan kata-katanya atau sekadar mahu mengambil hati saya yang sedang merajuk kerana tak dapat mengikut abang ke kedai Pak Usop untuk membeli aiskrim. “Ayie, Tuhan bagi ibu hadiah. Ada banyak hadiah yang ibu dapat. Kesemuanya dibalut dengan kertas yang mahal dan kotak yang cantik. Tapi ada satu hadiah yang dibalut dengan kertas yang tidak begitu cantik berbanding hadiah yang lain. Tapi ibu sangat sayang pada hadiah itu. Ayie tahu kenapa? Sebab hadiah itu adalah hadiah yang paling mahal harganya. Walaupun luarannya tidak begitu cantik, tapi dalamannya sangat indah. Ibu simpan hadiah itu di tempat yang paling tinggi supaya tiada orang yang boleh menyentuhnya kerana ianya sangat istimewa.” Entah mengapa, saya yang tadinya menangis teresak-esak boleh berhenti menangis apabila mendengar kata-kata ibu itu meskipun saya sendiri tidak mengerti maksudnya. Saya salin semula kata-kata ibu itu dan saya simpan di dalam almari. Semoga satu hari nanti saya akan faham maksudnya. Waktu terus berlalu bersama kenangan demi kenangan. Sebaik sahaja saya diumumkan sebagai antara 10 pelajar cemerlang yang memperoleh semua A dalam PMR, Saya kemudiannya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara Kuala Berang,Terengganu. Jika dahulu, saya hanya mengambil masa selama 45 minit untuk sampai ke sekolah, kini saya perlu menempuh perjalanan selama lebih kurang 2 jam untuk sampai ke destinasi. Saya terima tawaran itu dengan lapang dada memandangkan itulah satu-satunya cara untuk saya gapai kejayaan dalam jangkamasa yang cepat. Ayah memeluk saya erat sebagai tanda merestui perjalanan hidup saya. Ketika ini, saya mengerti bahawa perjalanan hidup saya pastinya akan menjadi lebih sukar memandangkan jarak yang agak jauh dengan rumah yang menuntut saya supaya tidak selalu pulang ke kampung. Seminggu selepas menjalani sesi pembelajaran di sini, saya mula tertarik dengan seorang teman sekelas yang amat mengambil berat akan diri saya. Kesopanan, keayuan, keprihatinan dan kebijaksanaannya begitu memukau saya. Paling penting, dia sentiasa mengambil berat akan diri saya. Kami sentiasa menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran bersama-sama. Dia juga sentiasa menjadi penyelamat apabila ada mulut jahat yang cuba mengejek saya. Rasa tertarik pada Hana menyebabkan saya mengubah doa saya sekali lagi.
“Ya Allah, berikanlah saya kaki baru supaya Hana sukakan saya. Supaya saya tidak diejek oleh rakan-rakan saya. “
Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh. Sehinggalah pada suatu malam, saya menghadiri kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Ferdawos berkenaan doa. Ustaz membaca hadis riwayat Tirmidzi yang berbunyi :
“ Seorang muslim yang berdoa, memohon kepada Allah, dia tidak meminta sesuatu yang berdosa (dilarang) dan tidak dalam keadaan memutuskan hubungan silaturrahim, maka Allah memberikan salah satu daripada tiga kemungkinan. Kemungkinan pertama, doa itu dakabulkan. Kemungkinan kedua, doa itu akan disimpan oleh Allah untuk akhirat kelak. Dan kemungkinan ketiga, Allah menjauhkan orang itu dari keburukan.”
Subhanallah!! Saya seolah-olah baru tersedar bahawa telah sekian lama saya berdoa. Namun saya masih lagi berjalan menggunakan tongkat. Hampir 12 tahun saya berdoa. Namun,tiada istilah kaki baru bagi saya. Saya hampir berputus asa. Saya fikir, mungkin doa saya disimpan untuk hari akhirat kelak. Lantas, apa gunanya saya mengambil masa yang begitu lama untuk memanjatkan doa yang sama jika saya hanya akan dapat kaki baru setelah saya mati dan dihidupkan semula? Kemudian,di saat saya hampir patah hati apabila mengetahui bahawa Hana sedang berteman rapat dengan seorang senior di maktab kami serta bingung dengan doa yang belum juga dikabulkan Tuhan, Tuhan memujuk hati saya dengan memberikan hidayah kepada saya. Saya menemukan sebaris ayat yang sangat sederhana ketika saya sedang membuat kajian di perpustakaan. Firman Allah yang menyedarkan saya..
“Aku sesuai dengan persangkaan hambaku pada diriKu. Aku bersamanya ketika dia berzikir (mengingat dan menyebutku). Sekiranya dia berzikir dalam hatinya, maka Aku mengingatinya dalam hatiKu.Sekiranya dia mengingatKu dalam satu Jemaah, maka Aku akan mengingatnya dalam satu Jemaah yang lebih baik daripada jemaahnya (di dunia). Sekiranya dia mendekati sejengkal, maka Aku mendekati sehasta. Sekiranya dia mendekati sehasta, maka Aku mendekatinya selengan. Sekiranya dia mendekatiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendekatinya dengan berlari.”
Saya sedar, tidak cukup dengan hanya berdoa. Saya perlu mendekatiNya. Jika selama ini saya memanjatkan doa dengan fikiran yang bercelaru, saya mesti berdoa dengan ikhlas. Tidak cukup dengan bertatih. Saya perlu berlari.. Maka malam itu, menyaksikan kali terakhir saya mengubah doa saya. Kali ini saya tidak lagi meminta kaki yang baru daripada Tuhan. Tetapi saya mohon agar Tuhan memberikan saya yang terbaik menurutNya. Saya memohon Tuhan ampunkan segala dosa-dosa saya,ibu bapa, guru-guru dan semua umat islam. Barangkali dosa-dosa itulah yang menyebabkan doa saya selama ini tidak juga dikabulkan Tuhan. Saya juga memohon supaya saya diberikan kekuatan untuk menempuhi kehidupan. Saya berdoa dengan seikhlas yang mungkin. Saya cuba untuk bersangka baik dengan Tuhan. Saya hanya berharap Tuhan sudi mendengar doa saya. Itu sahaja. Tidak cukup dengan hanya berdoa, saya kembali membaca lembaran demi lembaran ayat suci Al-Quran. Saya ingin lebih dekat denganNya. Saya melakukan solat sunat tahajjud dan solat sunat yang lain setiap dua pertiga malam. Saya juga sering berpuasa sunat setiap isnin dan khamis. Saya bertasbih memujiNya sehingga lidah saya terasa letih. Sebulan kemudian, saya dipanggil oleh pengetua sekolah untuk ke pejabatnya. Rupa-rupanya, dia ingin menghadiahkan saya kaki palsu!!! Subhanallah! Tuhan mendengar doa saya. Tuhan mengabulkan doa saya. Kaki palsu tersebut merupakan sumbangan daripada PIBG sekolah. Alhamdulillah.. Keesokannya,buat pertama kali saya menyusun langkah baru ke kelas seperti pelajar-pelajar yang lain. Mulut saya tidak berhenti memuji Allah di atas semangat baru yang diberikannya ini. Semangat saya untuk belajar kini kembali semula. Memandangkan peperiksaan SPM sudah hampir menjelang, saya begitu sibuk dengan diskusi dengan rakan-rakan tanpa memikirkan tentang Hana lagi. Ini juga adalah satu bentuk pertolongan dari Allah. Saya merasakan seperti berjalan di atas permaidani merah yang dihamparkan di setiap penjuru kawasan sekolah. Semua orang memandang saya dengan pandangan yang menakjubkan. Saya sudah boleh memekakkan telinga bila ada mulut jahat yang mengata saya. Saya butakan mata setiap kali ada yang mengejek cara saya berjalan. Mungkin kerana wajah saya yang seiras Shah Jazle, maka ramai kawan-kawan perempuan yang ingin berkawan dengan saya. saya bukan sahaja dikenali kerana gaya saya yang baru tetapi juga kerana keputusan peperiksaan percubaan saya yang begitu cemerlang.
Saya begitu merasakan kehangatan kasih sayang Tuhan yang tidak berbelah bagi. Kasih sayang itulah juga yang telah membawa dan memelihara saya sepanjang lima tahun saya melanjutkan pelajaran di Tokyo, Jepun.
Hari ini, saya berdiri sebagai seorang juruterbang profesional yang sentiasa maju ke hadapan. Saya buka kembali cebisan kertas yang hampir hancur yang padanya saya tuliskan kata-kata ibu berkenaan hadiah beberapa tahun yang lalu. Meskipun ibu telah tiada, namun saya faham maksud kata-katanya. Itulah sebenarnya kata-kata yang telah menjadikan saya seperti sekarang. Kata-kata itulah jua yang menyebabkan saya terus berjalan ke hadapan.
Jika hari ini, saya dikenali sebagai satu-satunya juruterbang yang berkaki palsu, maka itulah suatu keajaiban yang telah berjaya saya capai dengan izin Tuhan.
Baru kini saya mengerti bahawa bermulanya dengan harapan,kemudian ianya menjadi satu permintaan kepada Tuhan. Tuhan tidak terus memberikan saya apa yang saya pinta, kerana dengan itu, Tuhan melatih saya supaya sentiasa bersabar dan maju ke hadapan. Hasilnya, saya menjadi seorang hamba yang tahan diuji dan tak mudah terjatuh walaupun dipukul angin yang kuat. Semoga Tuhan sentiasa memelihara dan melimpahkan rahmat buat sesiapa sahaja yang pernah membantu saya dalam mengharungi jalan yang tak rata dalam hidup saya suatu masa dahulu.

2 comments:

  1. nice... sedih... and terusik di hati

    --mr.google--

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup...sedih.. sesungguhnya DIA Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

      Delete