Saturday, November 24, 2012

*Zahirkan cinta, kita bersaudara *


Diriwayatkan daripada Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.” (al-Bukhari)

Benarlah sabda Nabi..setiap daripada kita adalah bersaudara. Era teknologi yang semakin berkembang dari hari ke hari tidak mampu meluputkan nilai persaudaraan dalam diri kita. Meskipun, hari ini kita digemparkan dengan pelbagai cerita tragis yang berlaku dalam masyarakat kita seiring dengan perkembangan teknologi, namun, itu bukanlah alas an untuk kita tidak menerima pembangunan.

Pasti ramai diantara kalian, yang log in masuk ke laman facebook atau twitter dan seumpanya, yang tidak hanya menekan butang log out beberapa minit kemudia tanpa membaca apa-apa atau berkongsi apa- apa bukan? Laman utama facebook kita pastinya setiap masa akan ada pelbagai info berguna yang dikongsikan oleh rakan-rakan yang lain. Disitulah hebatnya janji Tuhan buat mereka yang membuat kebaikan. Setiap perkongsian yang kita lakukan meskipun dengan hanya menekan butang SHARE mampu menjana pahala berlipat ganda. Malah, jika ada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang membaca perkongsian itu, kita juga akan mendapat habuannya.

Erti hidup pada yang memberi. Benar kata Ustaz Hasrizal dalam bukunya : Aku Terima Nikahnya. Menjadikan peluang kehidupan sebagai medan untuk memberi akan membuat kita sentiasa mengambil berat dengan apa yang ada disekeliling kita. Ya, lihatlah dari sudut positif. Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap facebook dan sebagainya sebagai suatu medan untuk membuang masa, bersuka ria dan bersosial. Namun, percayalah, segalanya terletak kepada kita sendiri. Tanpa laman sosial seperti ini, bagaimana mungkin berita penderitaan Gaza dan Palestin dapat disebarkan secara meluas..mana mungkin teman lama yang hampir berbelas-belas tahun terpisah dapat kita jejaki kembali..?
( Sesungguhnya setiap amalan itu dimulai dengan atau disertai dengan niat dan sesungguhnya keatas setiap seseorang itu (dibalas) berdasarkan niat mereka )

Percayalah, jika hari ini, kita berkongsi sepotong hadis dengan saudara kita kerana rasa sayang kita sebagai seorang saudara, maka berbahagialah dengan pahala yang dijanji Tuhan. Jika hari ini kita berkongsi potongan ayat suci Al-Quran dengan mengharapkan jumlah ‘like ‘ yang banyak, supaya dipandang alim, maka hentikanlah. Kerana semuanya adalah sia-sia. Tepuklah dada, tanyalah minda. Perbaiki niat dan berdoalah supaya Tuhan membimbing niat kita itu.

Teringat akan satu post yang saya baca beberapa hari yang lalu bahawa, Allah tidak memandang pada kejayaan yang kita capai. sebaliknya apa usaha kita untuk mencapai kejayaan itu. Buat mereka yang tanpa putus asa menzahirkan cintanya atas nama persaudaraan, bergembiralah. Jangan sesekali merasa jemu untuk berkongsi sesuatu yang bermanfaat. Khabarkan tentang kezaliman Yahudi. Khabarkan tentang penderitaan rakyat Palestin dan Gaza. Khabarkan tentang peringatan Tuhan.. kerana setiap mata yang memandang, setiap mulut yang membaca, apa sahaja yang anda kongsikan, maka pahalalah imbalannya. Maka, mengapa takut untuk menzahirkan cinta kita kepada saudara kita sendiri?

Gunakanlah apa sahaja medan dan medium yang ada. sampaikanlah kepada mereka betapa indahnya Islam. Zahirkan cinta, kerana kita adalah bersaudara.

*sekian*

No comments:

Post a Comment